Header Ads

Bapa Saudara Mengaku Tidak Bersalah Merogol Budak 6 Tahun

IPOH – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudaranya di bawah umur antara Januari 2014 sehingga Mei tahun ini.

Tertuduh berusia 34 tahun itu, didakwa telah merogol kanak-kanak perempuan terbabit yang ketika itu baru berusia enam tahun antara Januari sehingga Disember 2014, di antara jam 1.30 petang hingga 5.30 petang di sebuah rumah di Lambor Kiri, Bota.

Berikutan itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 376 B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengaku tidak bersalah rogol anak saudara
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan seks luar tabii pada bulan Mei tahun ini antara jam 2 hingga 5.30 petang di lokasi yang sama.

Justeru, jika sabit kesalahan, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 377 B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali mencadangkan supaya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan dibimbangi akan mengganggu mangsa jika diberikan jaminan.

Peguambela tertuduh, Mohamad Hafiz Jalaludin pula memohon supaya jaminan ditawarkan ke atas anak guamnya serta mengenakan syarat ketat dan jika tidak dipatuhi jaminan tersebut akan terbatal.

Menurutnya, anak guamnya adalah pencari nafkah tunggal keluarga dengan gaji RM1,000 sebulan dan perlu menyara isteri serta tiga orang anak yang masih kecil berusia lima, empat dan satu tahun setengah.

Mohamad Hafiz turut mencadangkan beberapa syarat iaitu tertuduh dilarang mengganggu atau mendekati mangsa sepanjang perbicaraan kes berlangsung serta melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Selepas meneliti permohonan kedua-dua pihak, Hakim Indra Nehru Savandiah menetapkan jaminan RM15,000 dengan dua orang penjamin yang terdiri daripada ahli keluarga tertuduh.

Selain itu, beliau turut mengenakan syarat supaya tertuduh tidak boleh mempengaruhi atau mendekati mangsa serta ahli keluarganya dan sekiranya perkara tersebut berlaku, jaminan akan dibatalkan .

Beliau kemudiannya menetapkan 14 Julai ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa.

No comments

Powered by Blogger.