Header Ads

Penyanyi Baru Perlukan Keluarkan Produk Baru, Jangan Bergantung Satu Lagu

Popular kerana menyanyikan lagu orang lain atau melonjak naik kerana satu lagu baru adalah dua perkara yang kita lihat menjadi fenomena sekarang.



Projector Band, Sufian Suhaimi dan Aiman Tino antara contoh bakat baru yang dikenali hanya bersandarkan satu lagu baru yang mereka nyanyikan.

Ada pula yang menjadi perhatian kerana menyanyikan lagu orang lain seperti Elizabeth Tan yang kini mula membina tapak dalam industri dan Khai Bahar yang masih merangkak membina tapak.

Dua golongan ini berjaya menarik ribuan peminat dan video nyanyian yang dikongsi di YouTube hingga mencatat jutaan tontonan.

Bagaimanapun, adakah populariti sekelip mata itu satu jaminan untuk mereka berjaya meneruskan kerjaya dalam bidang seni?

Agak sukar hendak diramalkan. Selepas Projector Band melonjak naik dengan lagu Sudah Ku Tahu, Sufian (Terakhir) dan Aiman (Ku Rela Dibenci), bagaimana selepas itu? Sampai bila mereka akan terus bertahan dengan hanya satu lagu itu.

Apabila muncul dengan lagu kedua nanti, belum tentu sambutan diberikan sama seperti lagu pertama. Jika bernasib baik, lagu kedua juga berjaya mendapat perhatian.

Menjadi dilema kepada mereka yang tidak berani tampil dengan produk baru, lambat laun mereka akan terus lenyap dan dilupakan.

Bagi yang dikenali dengan menyanyikan lagu orang lain, cabarannya pula berbeza. Jika di laman sosial berjaya menarik perhatian tetapi apabila tampil dengan produk sendiri, belum tentu akan diterima.

Hingga kini belum ada produk baru daripada Khai Bahar dan masih bersandarkan kepada lagu Memori Berkasih duetnya dengan Nana apabila menerima undangan menyanyi.

Sampai bila hendak bermodalkan lagu orang lain? Selepas mengikat kontrak dengan NAR Records, dengarnya Khai Bahar dalam proses merakam lagu baru, sekali gus bakal mengukur kemampuan sebenar dirinya nanti.

Tapi ada cabaran lain yang perlu dilalui bintang segera ini. Apabila Khai Bahar keluar dari zon selesa (tidak hanya menyanyi di laman sosial melalui Smule) tetapi tampil di khalayak ramai, cabaran dan dugaannya tambah besar.

Penampilannya, gaya hingga kepada percakapan dan tingkah laku turut menjadi perhatian dan bualan. Dia kini harus berhadapan dengan kritikan orang ramai.

Dalam berjuang untuk membina tapak, Khai Bahar juga harus menepis pelbagai isu dikaitkan dengannya.

Walaupun masih baru, banyak juga cerita kurang enak yang didengar mengenai Khai Bahar. Terbaru, caranya menjawab soalan hingga menyinggung perasaan orang Sarawak.

Ramai bintang baru gagal meneruskan momentum popular ini kerana perlu menangkis hal-hal peribadi ini. Belajarlah bagaimana untuk menambat hati orang supaya tidak timbul kontroversi. Kontroversi juga membantu menaikkan nama selebriti tetapi silap langkah kontroversi boleh membunuh.

Tingkah laku perlu baik kerana masa depan anda ditentukan orang ramai. Makin ramai yang tidak suka, makin sukar untuk menambat hati ramai. Akhirnya mana pergi populariti yang diraih sebelum ini?

No comments

Powered by Blogger.