Header Ads

Tolong! Saya Sakit Macam Dah Nak Mati Ni!'

Terima kasih semua yang mendoakan. Alhamdulillah saya dah ok. Saya nak cerita sikit apa yang berlaku kemarin. Tiga hari yang lalu, saya rasa sakit luar biasa semasa buang air kecil. Dalam dua kali rasa begitu. Saya tak syak apa-apa lagi, maklumlah dok seronok denagan sambal bilis yang tengah hot.



Kelmarin petang dalam jam 3 begitu, saya mula rasa sengal di bahagian kiri perut. Saya syak angin, rilex lagi sambil berurusniaga dengan customer yang nak order sambal. Kebetulan tak ada job luar kelmarin, kereta pula melingkup, tergolek atas sofa sajalah.

Sejam kemudian, dalam jam 4 petang, rasa sengal semakin hebat. Saya mula rasa semakin tidak selesa. Sengal di bahagian kiri mula merebak ke belakang. Saya masih menyangka ini cuma masalah urat atau angin sahaja. Setengah jam kemudian, rasa sakit semakin kuat. Saya ke tandas dan cuba buang air besar. Ingatkan sakit perut biasa tetapi tiada apa yang keluar.

Dari saat itu, seluruh bahagian pinggang saya dah rasa sakit yang melampau-lampau. Nak berdiri pun susah, saya keluar dari tandas dan masuk ke dalam bilik terus tertungging atas lantai. Bergolek-golek menahan kesakitan yang teramat sangat. Pertama kali jadi seperti ini dan saya tak tahu nak buat apa. Badan sudah mula berpeluh-peluh, anak-anak terpinga-pinga melihat saya menggelupur.

Saya minta anak saya si Ulya ambilkan peti ubat. Saya tuang semua ubat ke atas lantai untuk memudahkan saya mencari ubat pain killer. Sebiji macam hero sakit macam nak mati dalam drama TV3. Di saat memerlukan, ubat pain killer walaupun panadol telah habis. Saya dapat Fepril paracetamol, ubat demam anak, terus saya telan sebotol dan baling botol ke lantai untuk menghayati lagi drama ini.

Saya mula panik, nafas semakin laju dan sesak. Sekali bernafas, dua kali rasa macam ditusuk pisau. Bukan main-main punya sakit. Isteri pula tiada di rumah, jaga anak di hospital. Saya cuma mampu mengucap saja pada masa itu. Saya merangkak ke depan tetapi tidak mampu. Nak bercakap dengan anak juga tidak berdaya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menghubungi 999. Sepantas operator itu menjawab panggilan saya, sepantas itu juga saya jawab,

"Tolong, saya sakit macam nak mati dah ni!"

Terus dia meminta maklumat bagai dan saya pun menjawab dalam keadaan tercungap-cungap. Selepas tamat panggilan, saya sudah tidak mampu mengerang. Hanya berguling dengan gigi terkunci. Azabnya, yang dah kena mesti tahu rasanya. Seperti ada pisau menghiris-hiris di dalamnya.

Sementara menunggu bantuan, saya cuma mengucap banyak-banyak. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya sempat kirimkan mesej ke WhatsApp group outdoor rakan-rakan saya dan seorang rakan yang lain, nak beritahu mereka bahawa saya sedang sakit. Isteri pula tidak membalas mesej saya.

Selang 15 kemudian, bantuan tiba dan saya masih tidak mampu bergerak. Bercakap pun macam nak minta nyawa dah. Saya disorong ke dalam ambulan. Terima kasih kepada jiran-jiran yang datang membantu dan tengokkan anak-anak. Saya pesan pada anak yang sulung,

"Kakak tolong jaga adik-adik,"

Air mata dah keluar, terlampau sakit dan emosi berkecamuk. Nadi menjadi semakin lemah. Semasa disorong, saya pandang ke langit luas dan berbisik,

"Allah, ampunkan aku."

Masuk ke dalam ambulan, saya dah rasa kebas satu badan dan hampir pengsan, peluh merecik. Saya pandang anak-anak dengan sekelip mata dan pintu terus ditutup. Mata saya menjadi kelam dan gelap.

Dalam ambulan, saya berasa punggung saya dicucuk. Masa itu saya berserah. Kau nak buat apa pun, buatlah. Sampai di hospital, saya sedar kembali. Doktor datang memeriksa, sakit semakin berkurangan. Doktor syak ada batu karang. Lalu saya menjalani ujian air kencing untuk pengesahan.

Isteri yang sedang menjaga anak di atas, turun melihat keaadaan saya. Masa itu sudah lega banyak. Macam nak berlari balik ke rumah. Setelah hampir sejam menunggu, keputusan pun keluar. Sah urine aku berdarah. Nasib baik tak ada dadah. Doktor cuma beri ubat tahan sakit dan ubat pecahkan batu karang. Terus aku telan pada masa itu juga.

Sampai di rumah, aku cari anak-anak yang pergi menumpang di rumah adik ipar di lorong belakang.

Di sini saya nak berpesan, saya ini manusia yang boleh dikatakan sihat sejak setahun inilah sebab saya aktif mendaki dan berlari. Malah saya pernah berlari marathon. Memang saya fit dan sangka badan sudah sihat. Tetapi saya tak nampak apa yang berlaku di dalam badan. Sebabnya, dulu tak jaga makan dan kurang minum air. Walaupun saya sudah mengubah gaya hidup, bom jangka cuma menunggu masa untuk meletup.

Dalam masa tiga jam saya proses ini berlaku dan saya berasa yang riwayat hidup saya hampir tamat dalam kejadian itu. Jadi marilah kita beringat, nikmat kesihatan yang Tuhan beri ini lebih bernilai dari wang ringgit. Saya yang sudah mencorak kembali ke gaya hidup ke arah yang lebih sihat pun kena. Inikan pula yang masih tidak mahu berjaga-jaga apabila usia semakin tua.

Orang-orang muda sekarang, tolong jaga kesihatan anda dari sekarang. Jaga makan dan selalu bersenam sementara masih ada kudrat InshaAllah hidup sihat dan penuh rahmat. Selebihnya kita tawakkal dan bersyukur. - Aj Alhadi

No comments

Powered by Blogger.