Caj servis penumpang penerbangan domestik, antarabangsa naik
PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyemak semula caj servis penumpang (PSC) di semua lapangan terbang bermula 1 Januari 2017, dan mengenakan caj yang lebih tinggi untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.
Kadar baharu itu akan dikenakan ke atas tiket bertarikh 1 Januari dan seterusnya.
Berbanding lapangan terbang lain, klia2 menyaksikan kenaikan PSC tertinggi dengan RM18 kenaikan untuk penerbangan antarabangsa dan kenaikan RM5 untuk penerbangan domestik.
Untuk penerbangan domestik, kadar PSC di semua lapangan terbang diselaraskan kepada RM11. Sebelum ini, kadar PSC di klia2 adalah RM6, manakala kadar PSC di KLIA dan lapangan terbang lain adalah RM9.
Untuk penerbangan antarabangsa, kadar PSC di klia2 adalah RM50, berbanding RM32 sekarang ini, manakala kadar PSC untuk penerbangan antarabangsa di KLIA dan lapangan terbang lain adalah RM73, naik RM8 daripada RM65 sekarang ini.
Bagaimanapun, kadar PSC untuk penerbangan ke negara Asean dikurangkan sebanyak RM30 di hampir semua lapangan terbang. Mereka yang berlepas dari KLIA, klia2 dan semua lapangan terbang lain hanya dikenakan RM35.
Mavcom dalam kenyataan berkata kadar PSC di KLIA dan klia2 akan disamakan bagi meratakan lapangan persaingan dan melakukan semakan PSC dalam masa setahun dengan tujuan untuk menyamakan PSC di KLIa dan klia2 untuk penerbangan antarabangsa luar Asean.
“Dalam jangka masa panjang, Mavcom berharap kadar PSC yang disamakan akan mengalakkan persaingan antara syarikat penerbangan yang beroperasi di dua terminal itu,” katanya, dan menambah penyamaan kadar PSC antara KLIA dan klia2 menerapkan kepatuhan kepada panduan antarabangsa berkenaan harga tanpa diskriminasi di lapangan terbang.
Meskipun PSC untuk penerbangan domestik dan antarabangsa naik, Mavcom berkata caj penumpang lapangan terbang Malaysia kekal antara terendah di rantau ini dan di dunia, berbanding lapangan terbang antarabangsa Asia lain seperti Changi (Singapura), Don Mueang dan Suvarnabhumi (Thailand), serta lapangan terbang antarabangsa di Manila, Phnom Penh, Delhi, Shanghai, Hong Kong dan Tokyo antara lain.
Mavcom juga berkata ia sedang membangunkan rangka kerja yang menghubungkan pendapatan aeronatik kepada paras kepuasan hati pelanggan dan pemegang saham, yang akan diperkenalkan pada 2017. Langkah ini, katanya akan memastikan pengendali lapangan terbang komited dan bertanggungjawab menambahbaik tahap perkhidmatan dan kecekapan kewangan mereka.
Pada September, akhbar berbahasa Inggeris TheSun melaporkan sumber yang mengatakan kadar PSC akan disemak dan Jemaah Menteri sudah meluluskan kadar baharu itu.
Susulan itu, wakil rakyat BN Sarawak menggesa Putrajaya supaya pertimbang semula kenaikan tersebut, dengan alasan penumpang di negeri itu sedia terbeban dengan kos penerbangan domestik yang tinggi memandangkan mereka tidak punya alternatif lain.
Post a Comment