Klinik 1Malaysia : saya disuruh balik sebab mereka tak nak cuci luka -
KUALA ROMPIN – Seorang penduduk di sebuah kampung pinggir Bandar Kuala Rompin kecewa dengan layanan yang diberikan kakitangan Klinik 1Malaysia di sini, Isnin lalu.
Borhanuddin Ismail, 52, berkata, dia ke klinik berkenaan untuk mencuci luka pada tapak kaki kirinya kira-kira jam 8.30 malam.
Bagaimanapun menurutnya, staf terbabit memintanya datang keesokan hari sekiranya ingin mendapatkan rawatan berkenaan.
"Luka pada kaki saya perlu dicuci dua kali sehari, sekali pada waktu pagi yang saya buat di Klinik Kesihatan Rompin dan malam saya memilih untuk buat di Klinik 1Malaysia sebab klinik kesihatan tutup jam 5 petang.
"Tapi, bila saya pergi Klinik 1Malaysia, saya disuruh balik sebab mereka tak nak cuci luka. Mereka beritahu kelengkapan yang nak digunakan untuk cuci luka dah dibersihkan dan dikemas," katanya.
Menurutnya, layanan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan klinik berkenaan diwujudkan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.
"Saya kecewa sangat bila diperlakukan macam tu, sebab mereka beroperasi jam 10 pagi hingga 10 malam sepatutnya sedia berkhidmat bila diperlukan. Lagi pun masa tu baru jam 8.30 malam," katanya kepada pemberita Sinar Harian, di sini.
Berikutan itu, Borhanuddin membuat laporan polis sebagai mengesahkan kejadian berkenaan dan memanjangkan isu berkenaan ke Pejabat Kesihatan Daerah Rompin.
Katanya, setakat ini, dia masih belum menerima maklum balas mengenai aduan berkenaan.
“Saya buat ni semua sebab tak nak orang lain alami nasib sama dan mahu pihak berkenaan memberi kaunseling kepada staf terlibat supaya tahap perkhidmatan yang diberikan menjadi lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Rompin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.
Difahamkan, dakwaan tersebut masih dalam siasatan.
Post a Comment