Header Ads

Dendam Lama, Remaja 18 Tahun Hampir Putus Tangan

KOTA BHARU - Angkara dendam lama yang berlarutan hampir setahun, seorang penuntut sebuah institusi awam ditetak hampir putus kedua-dua belah tangan dalam kejadian di Kampung Panggong, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Selasa lalu.

Mangsa tetak

Remaja berusia 18 tahun itu diserang dipercayai menggunakan pedang samurai oleh tiga lelaki yang dikenalinya sebaik keluar bersama seorang rakan dengan menaiki motosikal sejauh kira-kira 150 meter dari rumahnya pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, setibanya di tengah jalan, mereka ternampak dua lelaki dan seorang daripadanya sedang melibas-libas pedang.

Katanya, suspek berkenaan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam dan dua lagi rakannya turut menaiki sebuah motosikal lain.

“Mangsa meneruskan perjalanan walaupun diarah rakannya supaya melakukan pusingan dan lari menyelamatkan diri daripada suspek, bagaimanapun mangsa memberhentikan motosikalnya di tengah jalan.

“Rakan mangsa bertindak lari menyelamatkan diri dan mangsa yang berdiri di tengah-tengah jalan tersebut, ditetak oleh tiga lelaki berkenaan menggunakan pedang samurai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, semalam.

Sehubungan itu, pihaknya menahan empat lelaki berusia 17 hingga 29 tahun termasuk seorang penuntut institusi sama yang menyaksikan kejadian itu bagi membantu siasatan polis. Penuntut berkenaan kemudian dibebaskan kerana perlu menduduki peperiksaan.

“Mereka yang ditahan itu berada di dalam sebuah kereta di tempat kejadian, namun mereka tidak berbuat apa-apa dan ditahan untuk mendapatkan keterangan sebagai saksi kejadian dalam penyiasatan pihak polis.

“Polis masih memburu tiga suspek serta seorang rakan mereka yang menunggu di atas sebuah motosikal ketika kejadian, manakala penuntut dalam bidang pendingin hawa tersebut patah tulang siku serta parah kedua-dua belah tangan dan dirawat di Hospital Tengku Anis Pasir Puteh,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.