Header Ads

"Ogy Patut Guna Cara Lain Tegur Saya" - Elly Mazlein

KUALA LUMPUR: Penyanyi Elly Mazlein masih mempunyai rasa hormat terhadap Fauziah Ahmad Daud sebagai orang yang lebih tua walaupun primadona itu lantang mengkritiknya di laman sosial berhubung isu dia menarik diri menerusi program Gegar Vaganza 3 (GV3) pada 6 November lalu.


Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, bagaimanapun berkata, dia berharap Fauziah menggunakan cara lain untuk menegurnya daripada meluahkan pendapat secara terbuka sehingga menyebabkan ia menjadi perbalahan peminat.

"Pada saya banyak cara dia boleh bercakap termasuk menegur saya secara peribadi jika tidak berpuas hati tetapi perkara sudah pun berlaku dan saya ingin lupakan sahaja.

"Biarpun dia serang saya tetapi saya tetap menghormatinya bukan sahaja sebagai pelakon senior dan orang yang lebih tua daripada saya tetapi melihatnya sebagai seorang ibu.

"Hendak bergaduh pun sampai bila? Ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan dan saya terima sahaja apa yang orang hendak katakan kepada saya," ujarnya kepada mStar Online.
Elly ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Neng Geulis yang diadakan di Hotel Majestic di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Elly berkata, dia tidak pernah mengenali rapat Fauziah atau Ogy namun mengakui wanita berkenaan pernah bertindak sebagai pengarah drama lakonannya berjudul Bukan Yang Pertama pada 2005.

Kata Elly, ketika itu hubungan yang terjalin di antara mereka sekadar profesional di set dan tidak berkesempatan untuk mengenali Ogy secara peribadi.
"Apabila Kak Ogy mengatakan dia kenal saya, saya sebenarnya tidak mengenalinya secara peribadi untuk mengulas panjang tentang tujuannya mengkritik saya.

"Kami bekerjasama pun 11 tahun lalu dan itu pun dia hanya sempat mengarah separuh sahaja drama berkenaan sebelum diganti orang lain kerana masalah tertentu," ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.