Header Ads

Peminta derma patah gigi ditampar depan bank

ANDAR KUALA KANGSAR - Seorang lelaki patah gigi apabila ditampar individu tidak dikenali ketika sedang mengutip derma di hadapan sebuah bank, di sini, baru-baru ini.

Peminta derma patah gigi ditampar depan bank

Insiden tersebut sempat dirakam seorang netizen yang kebetulan berada di tempat kejadian sewaktu adegan tampar itu berlaku.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kalau tak nak derma pun, tak payah lah tampar']

Dia yang ingin dikenali sebagai Rokiah, 39, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 8.30 malam di sebuah bank di bandar Kuala Kangsar.

Menurutnya, lelaki berusia dalam video tersebut berang dan menuduh peminta derma itu menipu masyarakat sepanjang mengutip derma di situ.

Katanya, difahamkan lelaki itu juga menghubungi pihak berkaitan yang kemudiannya mendakwa aktiviti meminta derma di situ tidak mendapat pengesahan.

“Mulanya tiada adegan tampar tapi lama-kelamaan, nampak lelaki berusia itu makin marah. Dia berkali-kali tuduh peminta derma itu menipu.

“Dalam dia marah-marah, tiba-tiba dia lempang muka peminta derma itu. Dalam video sekali tapi seingat saya tiga kali dia lempang lelaki itu.

“Peminta derma itu sedikit pun tak balas walaupun lelaki berusia itu terus-terusan tuduh dia penipu dan memarahinya,” katanya.

Rokiah berkata, dia tidak menyangka video tersebut menjadi viral dan menyebabkan tindakan lelaki berusia itu dikecam ramai pihak.

Kebanyakan netizen yang menonton video itu menyelar insiden tampar itu dan merasakan tidak wajar menampar peminta derma sedemikian.

Mereka berpendapat sekiranya benar peminta derma menipu, itu urusannya dengan ALLAH dan masyarakat tidak seharusnya mengambil tindakan sebegitu.

Menurutnya, beberapa orang yang berada di situ tidak berani berbuat apa-apa ketika kejadian.

"Saya pun rakam dalam keadaan risau. Manalah tahu lelaki itu serang saya pula,” katanya.

Penduduk, Mohd Syamim Yahya, 32, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan kepada lelaki yang menampar peminta derma itu.

Katanya, dia sempat bertemu mangsa dan mengetahui kisah insiden itu dari mulut mangsa sendiri, semalam.

“Apa yang saya tahu, mangsa patah gigi depan akibat ditampar berulang kali dan dia buat laporan polis berkaitan insiden itu.

“Lelaki itu menuduh mangsa menipu tapi mangsa mempertahankannya dan mengatakan dia mempunyai kebenaran berbuat demikian. Itu yang membuatkan lelaki itu berang.

“Walaupun ditampar beberapa kali, mangsa tak melawan sebab tak mahu jadi lebih kecoh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, mangsa sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, baru-baru ini.

“Kita menerima laporan kes ini. Buat masa ini, tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.