Rayyan Tak Pernah Tanya Pasal Aidil, Arjuna Tak Pernah Kenal Siapa Ayahnya - Rita Rudaini
Bagaimana menguruskan anak sulung?
Ketika dengan Rayyan memang kekok, maklumlah kali pertama. Ketika dia demam, saya kelam-kabut, tak tahu apa nak buat. Nak mandikan anak juga kekok. Abang saya yang tolong mandikan, selain emak saudara.
Masih ingat detik pertama anak boleh berjalan dan bercakap?
Rayyan mula berjalan ketika berumur setahun lebih. Adiknya, Arjuna juga begitu. Mereka juga bercakap tanpa pelat.
Aktiviti yang biasa dilakukan dengan anak-anak?
Saya akan ikut apa-apa sahaja yang mereka suka. Mereka suka tengok wayang, berjalan-jalan di pusat beli-belah dan makan-makan.
Formula dalam mendidik anak-anak?
Sejak mereka bayi, saya pasang Al-Quran di telefon bimbit sewaktu mereka tidur hingga pagi. Saya mahu anak-anak cintakan Al-Quran.
Waktu hamil, saya selalu bercakap dengan bayi dalam perut. Saya beritahu mereka, saya mahu mereka jadi anak yang baik, berperangai elok dan rupa paras yang elok. Hari-hari bercakap, terasa macam orang gila pun ya juga. Alhamdulillah, mereka sekarang sangat berminat apabila disuruh mengaji. Rayyan suka buku, suka Al-Quran dan sangat taasub dengan huruf jawi.
Apabila disuruh solat, dia akan terus buat. Saya juga akan cakap dengan mereka seperti mereka orang dewasa dan bersembang seperti kawan-kawan.
Antara berleter dengan pukul, yang mana Rita lebih cepat kalau mereka buat salah?
Saya tegur dahulu. Kalau mereka ulang salah lagi, saya berleter. Saya akan jadi macam radio dari pagi sampai petang. Saya puas hati kalau mereka dengar saya berleter.
Saya memang tegas kalau benda tak betul. Saya manjakan mereka berpada-pada. Cara saya kasihankan mereka adalah dengan bertegas. Saya tak mahu, apabila mereka besar, mereka tak mendengar kata lagi. Kalau mereka sudah umur 12 tahun, ketika itu cakap pun tak guna lagi. Sekaranglah masanya.
Kalau mereka degil, perlu juga pukul. Sekadar pukul tangan, supaya mereka ingat, lain kali mereka takkan buat lagi.
Rita masih ingat perkataan pertama mereka?
Biasanya budak akan panggil mak. Rayyan tak pandai sebut mummy, dia sebut ami. Arjuna juga sama.
Apa yang seronok jadi seorang ibu?
Seronoknya tak terkata. Apabila saya jadi emak, barulah saya ingat balik kenapa emak saya dahulu suka marah dan berleter... sebab dia mahu saya jadi yang terbaik. Apabila jadi emak, barulah saya rasa sebak dan fikir tentang emak saya dahulu. Kalau dulu waktu kecil, setiap kali emak berleter, saya rasa benci dan rasa nak lari dari rumah.
Apabila jadi emak, barulah rasa kita nak anak jadi terbaik dan berguna apabila besar. Sebab itu kalau tak betul, perlu marah dan ditegur.
Saya hanya boleh berehat apabila mereka tidur. Selagi mereka tak tidur, selagi itulah saya macam mesin. Ada sahaja yang perlu dibuat.
Kalau mereka buat kerja sekolah, saya kena duduk sekali dengan mereka. Dahulu waktu saya kecil, saya buat kerja sekolah sendiri, emak tak perlu ada depan saya. Tetapi anak-anak sekarang, pembelajarannya lain. Kita kena duduk depan mereka dan semak apa mereka buat.
Saya memang takut memikirkan masa depan mereka. Sebab itu saya sanggup habiskan duit dengan mengupah ustaz untuk mengajar mereka, tambah dengan kelas tuisyen untuk mereka. Dahulu adik bersekolah tadika bersama abang, selepas abang masuk tahun satu, saya tak dapat berkejar-kejar menghantar abang dan adik sekali gus. Jadi saya bayar cikgu datang ke rumah seminggu sekali dan kelas tuisyen seminggu dua kali.
Anak-anak banyak ikut sikap siapa?
Sikap sayalah agaknya. Rayyan itu cara abang-abang sikit. Semuanya nak sempurna. Arjuna banyak mengelat. Kalau disuruh menulis, dia beri alasan, “Tangan adik macam nak patah!”
Emak saya kata, begitulah perangai saya dahulu. Rayyan apabila mengajar adik, dia mahu adik pandai masa itu juga. “Fokus, mata tengok mana?” Begitulah selalu dia marah adiknya. Kalau tak betul, berleterlah dia.
Bagaimana Rita fahamkan anak-anak tentang hubungan Rita dengan ayah mereka?
Saya tunggu mereka bertanya tetapi mereka tak pernah bertanya. Rayyan faham tapi dia tak pernah bertanya. Arjuna pula kenal saya sahaja. Saya tak pernah bercerita sebab tak mahu beri tekanan kepada mereka. Saya sendiri datang dari keluarga yang ibu bapa bercerai. Saya faham perasaan mereka, mereka akan sedih.
Saya sedih juga apabila orang berkata di hadapan Rayyan, “Ini muka bapa dia!” Rayyan sudah faham, tetapi dia jenis yang suka simpan dalam hati. Dia akan diam, hanya apabila tak dapat simpan, barulah dia bertanya.
Pernah sekali ketika kami bersembang sebelum tidur, dia memberitahu, ada orang dewasa bertanya dia, mana daddy? Rayyan beritahunya, Rayyan ada mummy saja.
Saya sedih juga kerana itu akan memberikan tekanan pada anak. Kalau orang bercakap di hadapan saya sahaja, tak mengapa, tapi apabila anak mendengar, saya rasa tak patut, sebab kita tak tahu apa yang dia rasa.
Post a Comment