Saya Bukan Penciplak - Penjelasan Syamel AF 2015
Persamaan melodi lagu dalam industri muzik sebelum ini sudah beberapa kali dilalui bukan sahaja penyanyi tempatan, tetapi juga antarabangsa.
Lagu Ed Sheeran berjudul Photograph antara contoh yang paling baru yang didakwa menciplak lagu Amazing nyanyian peserta program X Factor, Matt Cardle. Akibatnya, Ed Sheeran telah disaman sebanyak RM80 juta oleh komposer dan penulis lirik, Martin Harrington dan Thomas Leonard.
Dalam industri tempatan pula, lagu nyanyian dan ciptaan Syamel Aqmal, 23, berjudul Hidup Dalam Mati mempunyai melodi seakan sama dengan lagu Ku Kejar Bayangmu, ciptaan Ayai Ilusi. Mengakui mengenai perkara itu, jelas Syamel, apa yang berlaku sebenarnya sudah selesai sejak awal tahun yang lalu.
Saya sebenarnya tak mahu perkara ini berpanjangan dan sudah pun diselesaikan secara baik dengan semua pihak, termasuk Ayai. Muktamadnya, lirik adalah ciptaan saya, manakala lagu pula nukilan bersama kami berdua. Itu yang buat orang keliru sebenarnya. Masa itu, banyak lagu dan banyak melodi yang bermain dalam kepala. Mungkin wujud persamaan ketika saya mencipta Hidup Dalam Mati. Sumber rujukan saya juga terhad ketika itu hanya kepada orang di sekeliling sahaja. Tetapi mereka semua kata okay dan sebab itu yang saya teruskan
Bercerita mengenai persamaan itu, jelas Syamel, dia tidak menciplak karya sesiapa. Tetapi dia tidak menafikan kemungkinan wujud persamaan melodi antara kedua-dua lagu, secara kebetulan. Apatah lagi sewaktu lagu itu dicipta, dia berada dalam program Akademi Fantasia dan hanya merujuk kepada orang yang berada di sekeliling sahaja.
Menganggap apa yang berlaku ini satu pengajaran penting buat dirinya, penyanyi itu mengakui membuat lagu bukanlah satu kerja yang mudah. Banyak faktor yang perlu diambil kira untuk memastikan karya yang dihasilkan benar-benar asli dan tidak punya persamaan dengan lagu lain.
“Benda ini dugaan buat saya tetapi saya tidak akan patah semangat untuk terus berkarya,” jelasnya. Tidak mahu memanjangkan isu, jelas Syamel hubungannya dengan Ayai yang dianggapnya sebagai idola dalam industri seni juga masih baik.
“Perkara ini dah selesai dan tidak timbul isu lain. Saya dan Ayai juga sering berjumpa. Mungkin ada hikmah dengan apa yang berlaku,” katanya. Menjadi seorang artis pastinya menjadi perhatian dan kontroversi ini menurut Syamel benar-benar buatnya terkejut. Tidak mahu gelabah, dia mengakui perlu menerima dengan hati terbuka apa yang berlaku.
“Apa yang saya lihat, masih ramai yang menyokong tempat saya dalam industri seni dan saya amat hargai sokongan mereka. “Saya masih mentah dan permasalahan ini juga baharu buat saya. Tetapi, keluarga, pengurusan, rakan-rakan dan peminat menjadi tulang belakang buat saya untuk hadapinya,” jelasnya.
Tidak mahu terus dibelenggu dengan masalah ini, Syamel kini hanya mahu fokus kepada single keduanya yang berjudul Lebih Sempurna. Single kedua ini adalah ciptaannya sendiri dan berharap lagu ini mampu mendapat tempat di hati peminat.
Post a Comment