HAFIDZ ROSHDI Mahu Spend Time Dengan Isteri Sepanjang Ramadan
SEBAGAI hero drama yang tengah naik daun, Hafidz Roshdi ada sebab untuk berasa gembira dan teruja menyambut bulan Ramadan yang mulia.
“Sepanjang Ramadan saya ambil keputusan berehat daripada sebarang aktiviti seni. Sebab mahu spend time dengan isteri di bulan Ramadan.
“Ini kali pertama menyambut puasa sebagai suami dan isteri. Selepas berkahwin, ada orang kejutkan bangun sahur dan sediakan juadah untuk berbuka puasa.
“Makan, pakai sudah teratur dan lebih sempurna. Sebelum ini biasanya emak tolong kejutkan bangun sahur. Sekarang bila dah berkeluarga sendiri, keterujaan itu lebih berganda dan rasa lain.
“Saya dan isteri juga rancang untuk solat tarawih bersama. Ada masa balik rumah keluarga saya dan begitu juga sebaliknya,” kata Hafidz kepada Mangga Online.
Hero drama Tundukkan Playboy Itu turut berkongsi cerita bahawa isterinya, Nurul Shuhada merupakan penasihat dan pengkritik tetap karier lakonannya.
Pasangan ini berkahwin pada April lepas setelah tiga tahun menjalin hubungan. Mereka berkenalan ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi yang sama.
“Isteri saya bila tengok drama lakonan saya, dia banyak beri komen positif dan bagi idea suruh saya buat begini atau begitu. Dialah penyuntik semangat saya.
“Saya sentiasa perbaiki diri dari masa ke semasa. Dengan pandangan dan nasihat isteri serta keluarga, saya sering ingat agar di masa akan datang dapat terus majukan diri di dalam karier.
“Isteri banyak bantu saya dari segi pengurusan masa terutama dalam soal kerja. Ianya membantu saya menjadi pelakon yang lebih berdisiplin,” ungkap Hafidz lagi yang juga merupakan duta program Syukur Selalu untuk rangkaian televisyen Media Prima.

Post a Comment